Wednesday, 21 December 2016

Sebulan dua puluh dua hari

Assalamualaikum.

Hai.

Akhirnya saya berkeputusan untuk menulis semula - selepas semua pos lama saya padam  😂

Hari ini, hari yang ke lima puluh dua saya berkhidmat di jabatan perbidanan dan sakit puan - lebih tepat lagi menjalani latihan siswazah. Sungguh, setiap saat adalah sangat mendebarkan, dan menuntut kepada kesabaran yang berterusan. Penat !

Hidup selepas mula bekerja ini, sangat berbeza dengan zaman sebelumnya. Di sekolah, hidup banyak tekanan juga dengan kerja rumah dan tugas selepas waktu sekolah. Bezanya kita ada rutin harian mengikut jadual yang telah awal-awal pun disusun oleh sekolah untuk kita siapkan segala tugasan dan keperluan. Kita juga tak perlu risau untuk keperluan asasi, semua sudah sedia terhidang.

Hidup di universiti pula, jadualnya agak longgar. Kelas di kampus dari pagi sampai petang, kemudian bebas dengan urusan kendiri masing-masing. Aktiviti luar kampus yang banyak menuntut masa dan komitmen, tetapi sekurangnya masih ada masa untuk ruang privasi sendiri. Jika benar sibuk pun, rakan serumah mesti akan turut membantu meringankan beban dan melunaskan tanggungjawab harian kita.

Sekarang di waktu kerja, bukan kita sahaja yang sibuk. Rakan serumah juga sama sibuk dengan kita. Jadual pula tidak sama. Entah bila baru berjumpa. Tambah pula di jabatan saya sekarang kekurangan staf. Maka tiada langsung hari cuti. Setiap hari adalah hari bekerja. Letih penat hari ini, disambung pula ke hari esok. Sambung lagi ke hari esoknya dan berterusanlah setiap hari.

Retrospektifnya,

Kerja ini sangat beban. Berat dan sakit. Menghirup semua tenaga dan semangat yang ada. Memakan masa dan menuntut komitmen dua ratus peratus. Bahkan meninggalkan sangat sedikit waktu untuk urusan lainnya. Sangat rugi bila kuantiti waktu, tenaga, semangat dan tumpuan ini pada kerja yang niatnya bukan untuk Tuhan - bukan amalan yang nilaiannya boleh dibekalkan untuk hari - hari akhirat. Sia - sia.

Jadi pesan untuk diriku,

Luruskan niat. Pastikan betul - betul tujuan ke hospital setiap hari. Niatkan berkhidmat hanya untuk ALLAH. Bukan mencari populariti atau redha manusia. Ingat ALLAH selalu dan jaga janji kita dengan Dia. Kefardhuan yang wajib ditunaikan, hati selalu khusyuk dan tunduk mengingati Tuhan dalam segenap kerja yang sedang kita buat. Sampai terjagalah segala tingkah dan perbuatan, selalu dalam batas seperti yang Dia mahu.

Saya boleh. Aku boleh. Aimi boleh.
Selamanya hamba ALLAH.
Jundullah.
Ameen.

No comments:

Post a Comment